Thursday, October 31, 2013

Badak Berendam


Bahan-bahan
• 2 cawan tepung pulut
• 1 cawan air tapisan pandan (8 helai daun pandan)
• 2 cawan santan pekat (1/2 biji kelapa)
• 1 cawan kelapa parut
• 1 cawan gula merah
• 1/2 cawan gula pasir
• 1/2 cawan air
• 2 helai daun pandan (simpul)
• Garam secukup rasa

Cara-cara
• Bancuh tepung pulut bersama air daun pandan sehingga menjadi doh yang lembut.
• Masak kelapa parut bersama gula merah, gula pasir, air dan daun pandan sehingga pekat bagi menjadikan inti.
• Bentukkan doh menjadi bulat dan isikan inti di dalamnya.
• Letakkan doh berinti di dalam loyang dan tuangkan santan pekat yang digaulkan garam.
• Kukuskan selama 30 minit ataupun sehingga masak.

Kataku
Kalau takde gula merah, boleh pakai gula melaka. Kuantiti gula pasir boleh di adjust mengikut citarasa. Seeloknya, manis la baru harmoni di antara rasa santan dan tepung pulutnya.

Tuesday, October 29, 2013

Pulut Durian


Bahan-bahan
• 2 cawan beras pulut (rendam lebih kurang 3 jam)
• 1 cawan pati santan
• 1 cawan air
• 2 helai daun pandan
• Garam secukup rasa
• Buah durian
• Gula pasir (utk ditabur, jika suka)

Cara-cara
• Tos beras pulut yang direndam, kemudian kukus sehingga masak. Kalau malas kukus, buat je macam masak nasi.
• Untuk santannya: Masak santan bersama air, daun pandan dan garam. Kacau di atas api yang perlahan sehingga mendidih.
• Cara hidang: Pulut digaul dengan santan, isi durian dan sedikit gula.

Kataku
Dessert yang mudah, sedap dan mengenyangkan.

Sunday, October 27, 2013

Kek Nestum


Bahan-bahan
• 10 biji telur  
• 12oz mentega 
• 3 gelas nestum (nestum keluarga) 
• 1½ gelas gula halus 
• 3 sudu besar tepung jagung 
• ½ tin susu pekat manis 
• 3 sudu besar susu tepung 
• ½ gelas air 
• 1 sudu teh baking powder 
• 1 sudu teh esen vanila    

Cara-cara
• Pukul gula dengan mentega hingga kembang. 
• Masukkan pula telur satu persatu dan pukul hingga kembang dan berkrim. 
• Setelah sebati, masukkan susu pekat manis dan nestum. Gaul hingga sebati. 
• Kemudian masukkan air yang telah dibancuh bersama susu tepung dan tepung jagung ke dalam adunan dan gaul sebati.
• Masukkan baking powder dan esen vanila. Gaul hingga sebati.
• Akhir sekali kukus/ bakar hingga masak.

Kataku
Kek ini disimpan di dalam peti sejuk untuk tahan lebih lama. Rasanya ada sedikit seperti bread butter pudding dan kuih serimuka (pada I la). Kek ini berbeza dari kek nestum yang famous tu dari segi rasa, rupa mahupun bahan-bahan yang digunakan. Kek lagi satu tu pakai tepung kek dan fresh milk. Next time I akan upload kan resepi kek nestum yang lagi satu tu pulak.

Thursday, October 24, 2013

Butter Cake/ Kek Mentega Old School


Bahan-bahan
• 8oz majerin planta (marjerin lain pun ok je)
• 6oz gula kastor
• 6oz tepung naik sendiri
• 4 biji telur
• 2 sudu teh esen vanila
• 1/2 cawan susu pekat manis

Cara-cara
• Panaskan oven 180c.
• Lapik loyang dengan kertas minyak.
• Pukul majerin dan gula kastor hingga kembang.
• Masukkan telur sebiji demi sebiji sambil terus memukul adunan.
• Masukkan esen vanila.
• Masukkan tepung yang sudah di ayak. Gaul rata.
• Masukkan susu pekat manis dan gaul rata lagi.
• Bakar dalam oven yang telah dipanaskan tadi 30 minit (atau kurang).

Kataku
Kek mentega ni memang asli rasanya. Enak. Teringat zaman-zaman kecil dulu bila makan kek ni. 1oz = 30gm (kiralah sendiri). Resepi kat atas tu ikut sukatan asal. I buat sukatan sendiri sebab terkonfius dengan oz. Sukatan marjerin, gula kastor dan tepung sama banyak iaitu 125gm. Susu pekat pula dalam 2 sudu besar je sebab taknak manis sangat. Cuma telur je maintain 4 biji dan esen vanila pun maintain 2 sudu teh. Hasilnya tetap marvelous. Enak, gebu, wangi dan sedang elok kemanisannya.

Thursday, October 10, 2013

Dorayaku


Bahan-bahan (1 set = 2 keping roti)
• 2 keping roti
• Inti (apa-apa pun boleh; kacang merah, kaya, peanut butter, etc)

Cara-cara
• Tebuk kedua-dua roti di bahagian tengahnya (bentuk apa pun boleh; bulat segiempat, love, etc)
• Letak inti di tengah sekeping roti.

• Cantumkan kedua-dua roti dan kelim bahagian tepinya (seperti kelim karipap)

• Bakar roti pada suhu 180c selama 6-10 minit.

Kataku
Dapat idea selepas buat roti telur mata istimewa. Lebihan roti ni boleh pakai untuk resepi lain.


Tuesday, October 8, 2013

Roti Bakar Telur Mata Istimewa


Bahan-bahan (1 set = 2 keping roti)
• 2 keping roti
• 1 biji telur
• 1 sudu mayonis/majerin
• Serbuk lada putih/hitam
• Daun sup (hiris); sebagai hiasan

Cara-cara
• Sapu rata mayonis/majerin di atas sekeping roti.
• Buatkan lubang pada roti yang lagi satu menggunakan acuan masak telur benjo tu (kalau takde, pakai je cawan bulat yang bulatnya bersaiz telur mata)

• Tampalkan roti yang dah di lubang tadi atas roti yang di sapu mayonis/majerin.
• Pecahkan telur ke atas roti tersebut (di bahagian tengah yang berlubang)

• Taburkan daun sup dan serbuk lada hitam/putih.
• Bakar dalam oven toaster selama 3 minit atau oven biasa dengan suhu 180c selama 5-10 minit (bergantung kepada tahap kegaringan roti yang diingini)

• Dah siap, boleh spreadkan sos atau kicap (ikut selera)

Kataku
Sedap terutama untuk pengemar telur. Telur boleh tunggu sampai masak sepenuhnya ataupun separuh masak. Dua-dua pun sedap. Breakfast anak sebelum ke sekolah. Lebihan roti yang ditebuk tu boleh guna buat kuih dorayaku ciptaan aku dalam entri seterusnya.

Saturday, October 5, 2013

Telur Masak Kicap


Bahan-bahan
• 4 biji telur 
• 1 labu bawang besar (hiris kasar)
• 1 biji lada merah (hiris kasar)
• 1/2 cawan kicap
• 2 sudu makan sos tomato
• 1 pokok daun sup (potong pendek)

Cara-cara
• Panaskan minyak dan goreng semua telur satu per satu (buat telur mata). Hidang dalam pinggan dan ketepikan.
• Tumis bawang besar dan lada merah.
• Masukkan kicap dan sos tomato. Kacau rata.
• Apabila mendidih, masukkan daun sup dan tutup api.
• Tuang di atas telur yang dah digoreng tadi.

Peria Goreng Lada Hitam


Bahan-bahan
• 1 biji peria
• 2 biji telur 
• 2 sudu besar minyak masak
• Garam secukup rasa

Bahan kisar
• 1 sudu besar lada hitam
• 3 biji bawang merah
• 2 ulas bawang putih
• 2 biji cili merah

Cara-cara
• Peria dibelah dua dan dibuang bijinya. Hiris lebih kurang 1/2 inci tebal dan rendamkan dalam air garam.
• Panaskan minyak dan tumis bahan kisar sehingga wangi.
• Toskan peria dan masukkan ke dalam kuali. Kacau rata.
• Pecahkan telur dalam kuali dan kacau rata. Biar seketika.
• Perasakan dengan garam. Gaul sebati.

Kataku
Bawah ni versi tak letak telur. Sedap jugak.

Cucur Seri Maya


Bahan-bahan 
• 2 cawan tepung pulut 
• 70gm kelapa parut muda 
• 250ml air
• 1 cawan gula (kisar halus)
• Sedikit garam
• Sedikit pewarna kuning telur
• Minyak untuk menggoreng

Cara-cara
• Masukkan tepung pulut, kelapa parut, garam dan air ke dalam bekas. Uli sehingga adunan liat dan tidak melekat di tangan.
• Masukkan pewarna kuning dan uli lagi sehingga warna rata.
• Canai dan potong ikut bentuk yang diingini.
• Goreng pada suhu minyak yang sederhana.

• Angkat dan toskan.
• Gaul dengan gula yang dah dikisar atau sira dengan air gula dalam kuali seperti membuat kuih keria.

Kataku
Disebabkan pewarna kuning telur takde, I pakai pati minuman perisa jagung.

Peria Masak Taucu


Bahan-bahan
• 1 biji peria (potong kecil)
• 3 sudu besar taucu manis
• 5 biji cili api (kalau suka)
• 1/2 cawan air
• 3 sudu besar minyak masak

Bahan hiris
• 1 biji bawang besar
• 3 ulas bawang putih
• 3 biji cili hijau
• 2 biji cili merah

Cara-cara
• Panaskan minyak dan tumis bahan hiris hingga layu.
• Masukkan peria dan cili api.
• Masukkan air dan taucu kemudian kacau rata.
• Biarkan mendidih dan pekat.

Kataku
Sedap dimakan bersama nasi putih dan ikan goreng. Kalau taucu manis takde dalam stok, i pakai taucu masin je. Basuh dulu taucu tu ambil kacangnya je. Masa masak, tambah gula sikit sebagai perasa.

Friday, October 4, 2013

Tokin Ayam Bersalut


Bahan-bahan (15 ketul)
• 1 kg tokin ayam
• 4 sudu besar tepung jagung
• 1 cawan tepung gandum 
• 2 sudu makan rempah kari
• 1 camca kecil garam (ikut citarasa)
• Air untuk bancuhan (agar kepekatan seperti untuk goreng pisang) 
• Minyak untuk mengoreng

Cara-cara
• Basuh tokin ayam dan ketepikan.
• Bancuhkan air bersama tepung gandum, tepung jagung, rempah kari dan garam.
• Gaulkan tokin ayam dalam bancuhan tadi biar rata.
• Panaskan minyak dan goreng.

Kataku
Tokin ayam ni sedap dimakan begitu saja. Nak makan dengan mayonis atau sos pun sedap. Makan bersama nasi pun sedap juga.

Ambal/ Pepahat Goreng Pedas


Bahan-bahan
• Ambal/ papahat
• 3 ulas bawang putih (ketuk)
• 1/2 biji bawang besar (hiris)
• 1/2 kuntum broccoli (potong)
• 1/3 batang carrot (hiris)
• 6 keping kacang pis
• 1/2 cawan air
• 1/2 kiub pati ayam
• 1-2 sudu besar sambal belacan (sambal belacan dah siap yang di makan dengan nasi tu)

Cara-cara
• Cuci ambal/papahat. Buang shell/ cengkerang (ambil isinya je)
• Tumis bawang putih dan bawang besar sampai wangi.
• Masukkan ambal/papahat, sambal belacan, dan air. Goreng sampai air hampir kering.
• Masukkan kiub ayam, kacang pis, broccoli dan carrot. Kacau sebentar dan tutup api.

Kataku
Ambal juga dikenali sebagai pepahat atau bamboo clam atau sea needle. Ia merupakan sejenis makanan laut yang mempunyai cengkerang yang bentuknya seakan-akan buluh.

Puding Sagu Gula Melaka


Bahan-bahan
• 2 liter air
• 300gm biji sagu putih (cuci)
• 1/2 sudu teh pewarna hijau (boleh ganti dgn air daun pandan)
• 2 helai daun pandan (kisar dan tapis jusnya)
• 1 cawan pati santan (perasakan dengan 1/4 sudu teh garam)

Bahan syrup gula
• 1 ketul gula melaka (potong kecil)
• 1/2 cawan gula pasir
• 1/4 cawan air
• 1 helai daun pandan

Cara-cara
• Masak bahan sirap gula hingga gula larut dan pekat. Tapis dan sejukkan dalam peti sejuk.
• Didihkan air. Masukkan daun pandan dan pewarna hijau.
• Masukkan sagu yang dah dicuci dan masak hingga sagu berubah jadi jernih (tiada putih-putih).
• Tutup api dan biarkan sagu tadi selama 2-3 minit.
• Kemudian, angkat sagu dan cuci di bawah air mengalir untuk membuang kanjinya. 
• Tos dan isikan ke dalam acuan.
• Simpan dalam peti sejuk sekurang-kurangnya 1 jam.
• Bila nak makan, keluarkan sagu dari acuan dan masukkan ke dalam mangkuk.
• Tuang syrup gula dan santan di atasnya. Sedia untuk dinikmati.



Kataku
Puding ni senang. Lepas buat, simpan je semua dalam peti sejuk. Bila nak makan, baru keluarkan. Terasa sejuk je tekak bila menikmati puding ni. Kalau taknak guna santan, boleh ganti dengan susu cair. Tapi pakai santan lebih enak dari susu cair.

Thursday, October 3, 2013

Kuih Sagu Mata Ikan/ Bronok/ Sagu Delima


Bahan A
• 3 cawan air
• 1 cawan sagu biji
• 1 cawan gula
• 1 sudu teh pewarna merah
• 1 helai daun pandan (simpul)

Bahan B
• 1/2 biji kelapa parut muda
• Sedikit garam

Cara-cara
• Sagu biji dibersihkan. Rendam sebentar dan toskan.
• Masak air, gula dan daun pandan hingga mendidih. Buangan daun pandan.
• Masukkan sagu serta pewarna merah. Kacau sehingga sagu kembang (sehingga biji-biji putih tidak lagi kelihatan)
• Apabila sagu kembang, angkat dan masukkan ke dalam loyang. Sejukkan dalam peti sejuk (kalau rajin, sebelum disejukkan, kukus dulu selama 30 minit bagi mendapatkan tekstur berbiji yang cantik)

• Apabila sudah sejuk, potong dan gaulkan bersama kelapa parut muda yang dah digaul dengan garam.

Kataku
I simpan dalam peti sejuk. Bila nak makan baru keluarkan dari peti sejuk dan gaul dengan kelapa dan garam. Makan sejuk lebih sedap. Sejuk je bila masuk dalam tekak.

Tauhu Sos Lada Hitam


Bahan-bahan
• 1 keping tauhu lembut (saiz besar)
• 1 labu bawang besar (hiris)
• 1 ulas bawang putih (cincang)
• 1 biji tomato (belah 4)
• 5 keping kacang pis
• 2 biji cili merah
• 1/2 batang lobak merah (potong memanjang)
• 2 sudu besar minyak masak

Bahan A
• 1/2 cawan air
• 1 sudu besar serbuk lada hitam
• 3 sudu besar sos tiram

Cara-cara
• Bancuh semua bahan A dan ketepikan.
• Panaskan minyak, tumis bawang besar dan bawang putih hingga wangi.
• Masukkan tauhu dan goreng sehingga garing.
• Masukkan sayuran serta bancuhan bahan A tadi.
• Kacau perlahan-lahan, sehingga mendidih dan pekat.

Kataku
Perlahan-lahan ketika mengacau kuah agar tauhu tidak hancur macam I punya.. hehe..