Thursday, August 29, 2013

Crunchy Choc Cookies (C3)


Bahan A 
• 1 cawan tepung gandum 
• 1 cawan tepung kek (self-raising flour)   
• ½ cawan tepung jagung 
• ½ cawan serbuk koko 
• 3 cawan nestum

Bahan B 
• 200 gram butter 
• 1 cawan gula kastor 
• 1 sudu essen vanila 
• 1 biji kuning telur 

Cara-cara
• Pukul butter dan gula sampai kembang, masukkan kuning telur dan esen vanila. 
• Ayak semua jenis tepung dan serbuk koko dan campurkan nestum. 
• Masukkan bahan A ke dalam adunan bahan B 
• Kacau hingga sebati dan dengan menggunakan sudu, bentukkan ke atas talam ikut kreativiti. 
• Bakar dalam oven dalam 10-20 minit dgn suhu 200c.

Tips
• Kalau guna cornflakes pun boleh. Sama sukatan dengan nestum tapi kena hancurkan sikit. 
• Lagi best kalau buat bentuk cookies cam chipsmore tu.

Kataku
Biskut ni rasa macam cookies famous amos. Hati-hati dengan tempoh pembakaran. I punya oven, tak sampai 10 minit dah masak. Lebih 10 minit mesti terhangus. Dah siap disusun, sedia untuk dipasarkan. Hehe, taklah.. Biskut tu buat untuk party hari raya sekolah anak. Tu yang letak dalam bekas macam tu.

Wednesday, August 28, 2013

Kek Aiskrim Coklat + Vanila

(Pinjam gambar pemilik asal resepi)

Bahan-bahan
• 300ml ais krim vanila (I pakai aiskrim buat sendiri dalam post sebelum ni je)
• 15 keping biskut oreo
• 50gm mentega; dicairkan

Cara-cara
• Keluarkan ais krim dari freezer dan biarkan lembut atau cair sedikit.
• Kisar biskut oreo dengan krimnya sekali.
• Campur biskut oreo yg dikisar dgn mentega yg telah dicairkan. Kacau sebati, biar berketul2.
• Alas tupperware dgn plastic wrap dan masukkan 1/2 campuran biskut td. Tekan biar padat.
• Selepas itu masukkan ais krim dan ratakan. Masukkan dlm freezer lebih kurang 1 jam.

• Kuarkan ais krim dan tabur lebihan biskut tadi. Simpan semula dlm freezer lebih kurang 1 jam lagi.
• Kuarkan kek ais krim dan potong ikut citarasa.

Kataku
I punya terbalik, aiskrim pulak kat bawah. Sepatutnya aiskrim sebelah atas bersama biskut yang ditabur. Disebabkan tak ada plastic wrap; bubuh dalam tupperware je. Nak keluarkan dari tupperware, pakai telangkup je atas piring.

Setelah membuat dan memakan hidangan ni, komen I, ni bukan kek aiskrim tapi lebih kepada aiskrim oreo. Lagi satu, kalau terlalu lama dalam freezer, biskut sedikit keras.

Monday, August 26, 2013

Ala Pizza


Bahan-bahan
• 4 keping roti gardenia
• 4 sudu besar sos bolognaise atau sos tomato
• 50g - 100g keju mozzarella atau cheddar atau kedua-duanya; parut atau sagat
• Topping secukupnya

Cara-cara
• Susun roti membentuk 1 segiempat besar (roti boleh dilenyek supaya leper atau dalam bentuk asalnya)
• Sapukan sos bolognaise atau sos tomato di atas roti.
• Letakkan topping secara rata di atas roti tadi. Topping jangan terlalu nipis, dan jangan terlalu tebal.

• Taburkan keju yang dah diparut atau disagat di atasnya.

• Sedia untuk dibakar di dalam oven selama 10 - 15 minit dalam suhu 190 darjah. Kalau nak garing, bakar lama sikit.

Bahan topping (sardin)
• 1 tin kecil sardin
• 2 biji cendawan butang; hiris nipis
• 2 sudu besar cili kisar
• 2 ulas bawang putih; cincang
• 1 labu bawang besar; cincang
• 1 sudu teh lada sulah
• Secubit garam

Cara topping (sardin)
• Sardin dihancurkan bersama airnya sampai halus. Ketepikan.
• Tumis bawang besar dan bawang putih sampai naik bau.
• Masukkan cili kisar dan tumis sampai pecah minyak.
• Masukkan sardin tadi dan biar sardin masak.
• Masukkan cendawan, lada sulah dan garam secukup rasa. Kacau rata.

Kataku
Topping boleh dipelbagaikan ikut citarasa. Tapi kalau nak yang mudah-mudah dan tak perlu masak dulu, boleh pakai makanan segera dalam tin seperti tuna, kari ayam, rendang, serunding, sambal udang ataupun lebihan makanan semalam asalkan bersesuaian. Tapi untuk ayam atau daging, jangan lupa hancurkan isinya dan buang tulangnya dahulu. Kang tercekik pulak. Tak pernah dibuat orang, tercekik makan pizza.

Untuk keju pula, keju mozzarella paling sesuai digunakan. Kejunya akan meleleh ketika dimasak dan bila ditarik, nampak bertali. Keju parmesan pula sesuai dijadikan taburan pizza dan spagetti. Manakala keju cheddar pula merupakan keju yang paling banyak digunakan di seluruh dunia. Rasanya lazat dan aroma yang tidak terlalu tajam amat sesuai utk semua jenis masakan.

Biskut Milky


Bahan-bahan
• 3/4 tin susu pekat manis
• 250g tepung gandum
• 250g tepung jagung
• 250g mentega
• 1 sudu teh serbuk penaik
• 2 jenis pewarna makanan

Cara-cara
• Gaul tepung dan susu pekat sehingga sebati.
• Tambahkan mentega dan gaul lagi.
• Masukkan tepung gandum dan gaul sehingga adunan boleh diuli (tidak melekat). Tambahkan tepung gandum lagi jika perlu.
• Bahagikan doh kepada 2 bahagian. Warnakan setiap bahagian dengan warna yang berbeza.
• Gandingkan setiap bahagian dan bulat-bulatkan. Kemudian tekan-tekan supaya membentuk seperti duit syiling yang tebal (seperti gambar di bawah)
• Sedia untuk dibakar.

Tips
• Bakar biskut pada suhu 180 C dengan api atas sahaja. Bakar selama 10 - 15 minit (sehingga bahagian atas biskut masak). Kemudian, terbalikkan biskut dan bakar dengan tempoh yang sama seperti tadi (iaitu sehingga masak).

Kataku
Asal usul resepi ni adalah daripada biskut susu yang tak menjadi. Selepas menghadapi masalah dengan doh dan teknik pembakaran, akhirnya terhasil la biskut yang kini menjadi kegemaran keluarga.

Sunday, August 25, 2013

Resepi Spaghetti Carbonara


Bahan-Bahan 
• 1/2 bungkus spaghetti; I guna san remo vercimile
• 1 botol sos prego Carbonara Mushroom

• 4 ulas bawang putih (cincang)
• 2 biji bawang merah (cincang)
• Sedikit daging atau ayam (cincang); atau pakai je daging atau ayam kisar
• 2 batang sosej (hiris)
• 1/2 tin cendawan butang (hiris)
• 1/2 biji capsicum merah (potong dadu)
• 1 sudu teh garam
• 1 sudu teh serbuk lada sulah
• 1 sudu teh serbuk lada hitam
• 1 cawan air/ susu cair/ fresh milk

Cara-cara
• Rebus spaghetti sehingga masak. Masukkan sedikit garam dan sedikit mentega atau minyak masak atau olive oil untuk elakkan spaghetti melekat. Angkat, tos dan ketepikan.

• Tumis bawang merah dan bawang putih hingga baik bau.
• Masukkan daging/ayam dan sosej.
• Setelah daging/ayam masak, masukkan sos prego dan kacau rata.
• Masukkan air/ susu cair/ fresh milk. Kacau sehingga agak pekat.
• Kemudian, masukkan garam, lada sulah dan lada hitam.
• Akhir sekali, masukkan capsicum dan kacau rata.

Kataku
Favorite keluarga I spaghetti brand San remo vercimile. Selalu masak spaghetti ni tak pernah pun letak minyak atau butter. Okey je. Tak le melekat sangat. Tapi ada brand yang memang kena letak, kalau tak melekat-lekat. Lada hitam dan lada sulah lagi umph kalau guna yang biji tu, tumbuk jangan sampai lumat.

Sos prego ni memang dah sedap. Boleh di pelbagaikan dengan bermacam cara dan bahan-bahan. Ikut citarasa masing-masing. Nak tabur italian herbs ke, oregano ke, terpulang. Tapi resepi ni kalau tak letak tu semua pun dah cukup sedap. Kalau guna susu cair atau fresh milk, sosnya akan lebih pekat dan ber'creamy' berbanding air. Kalau nak creamy lagi, letak la cheese cair. Hmm, sungguh menyelerakan (macam bawah ni ha). 

Saturday, August 24, 2013

Aiskrim Vanilla Homemade


Bahan-bahan
• 1 1/2 cawan coffee mate
• 1/2 cawan gula kastor
• 2 cawan susu segar (dutch lady/ hl/ magnolia/ etc)
• 1 sudu kecil esen vanilla

Cara-cara
• Blend semua bahan tu (kecuali esen vanila) dalam 3 ke 4 minit. 
• Then, masukkan pulak esen vanilla.
• Kemudian blend sekali lagi dalam 2 minit. Bagi nampak gebu.
• Lepas tu, bekukan. Paling kurang, selama 8 jam ataupun semalaman.

Tips
• Kalau nak buat aiskrim vanilla oreo, tumbuk biskut oreo yang telah dibuang krim. Gaul dengan aiskrim yang dah diblend tadi baru dibekukan (Biskut oreo jangan di blend sekali nanti tak crunchy)

Kataku
Owner resepi tak bagi sukatan. Untuk hasil terbaik, sukatan coffee mate seharusnya sama banyak dengan sukatan susu. Sukatan gula pula ikut citarasa dan tahap kemanisan masing-masing. Owner resepi ni mencadangkan sukatan gula sama banyak dengan sukatan coffee mate. Suami dan anak-anak hari-hari makan aiskrim ni dengan roti..

Friday, August 23, 2013

Homemade Hash Potato


Bahan-bahan (2 orang)
• 2 biji ubi kentang
• 1/3 sudu kecil garam
• Minyak untuk menggoreng

Cara-cara
• Bersih dan kupas kulit potato.
• Ambik sebiji potato. Cincang sampai halus.
• Ambik sebiji lagi, cincang kasar.
• Campurkan kedua-duanya ke dlm bowl. Masukkan garam dan gaul rata.
• Bahagikan kentang kepada 4-5 (kepal-kepal). Wrapping dgn plastik wrap. Microwave kan selama 2-3 minit dgn 600W (supaya melekat dan tak pecah bila digoreng).
• Selepas tu biarkan sejuk sekejap.
• Agak-agak dah tak panas utk kita buat bentuknya. Ambik sebiji potato tadi. Letakkan ke atas plastik wrap. Tekan-tekan bagi leper.

Gambar resepi asal

• Panaskan minyak. Bolehlah goreng sehingga perang.

Tips
• Boleh juga guna food processor. Sebiji kentang mix sampai hancur. Kemudian masukkan satu lagi kentang. Mix sekejap, kasar-kasar.

Kataku
Masa di'microwave'kan, kentang biar keluar kanji dan warna putih sikit supaya tak pecah dan masak sedikit sebelum digoreng. Tak best sangat pada I. Mungkin tak buat dah. Nak cuba resepi lain pulak.

Sunday, August 4, 2013

Kangkung Goreng Pedas


Bahan-bahan
• 1 ikat kangkung
• 2 biji bawang merah (hiris)
• 1 biji bawang putih (hiris)
• 1 sudu besar cili kisar (cili kering yang dah dikisar lumat)
• 2 biji cili (ketuk)
• 1 kiub pati ayam

Cara-cara
• Tumis bawang merah, bawang putih, cili dan cili kisar hingga garing.
• Masukkan kangkung dan kiub pati ayam. Kacau rata.

Kataku
Resepi ringkas. Main campak je..

Friday, August 2, 2013

Ikan/ Ayam Berlado


Bahan-bahan
• Ikan atau ayam
• Cili kering
• 5 biji bawang merah
• Garam

Cara-cara
• Goreng ikan/ ayam bersama garam dan kunyit hingga garing. Ketepikan.
• Rebus dan blend kan cili kering jangan terlalu lumat. Ketepikan.
• Tumbuk bawang merah. Ketepikan.
• Tumis bawang merah dengan 7-10 sudu cili kering sampai terbit minyak/ garing.
• Masukkan garam.
• Masukkan ikan/ ayam dan gaulkan hingga rata.

Kataku
Sangat sesuai dimakan bersama sup suhun. Memasak cili hingga garing perlu berhati-hati. Kena selalu kacau dan api perlu perlahan. Barulah akan menjadi. Kalau tidak, cili boleh hangus dan rasanya akan menjadi sedikit pahit. Tekstur yang sebenar ialah, cili betul-betul kering dan melekat pada ikan/ ayam (tak berkuah/ berair). Kalau nak rasa manis-manis sikit, tambahkan gula.

Ayam Masak Ala Rendang


Bahan-bahan
• ½ ekor ayam
• Garam dan gula secukup rasa 
• Sedikit perasa 
• Minyak untuk menumis 

Bahan kisar halus
• 10 ulas bawang merah 
• 3 ulas bawang putih 
• 3 batang serai 
• 10 biji cili api
• ½ inci kunyit hidup (boleh guna serbuk kunyit) 
• ½ inci halia 

Cara-cara
• Ayam dipotong ikut suka dan dibasuh bersih.
• Panaskan minyak dan masukkan bahan yang dikisar. Biarkan ia garing dan naik bau.
• Kemudian masukkan ayam. Kacau rata.
• Masukkan air sedikit dan biarkan empuk. 
• Masukkan garam, gula serta serbuk perasa (Sebelum diangkat, I gaulkan dengan sehelai daun kunyit yang dah dihiris halus untuk aroma yang lebih istimewa)

Kataku
Resepi yang sangat mudah. Sedap. Sesuai dimakan bersama nasi panas. Pasti berselera. Buat juadah di hari raya pun sedap. Makan dengan ketupat atau lemang. Dah nama pun ala rendang. Memang rasanya pun macam rendang.

Sup Suhun


Bahan-bahan
• 1-2 biji kentang potong dadu (I potong 4 je)
• Suhun
• Pucuk (kalau suka)

Bahan tumbuk
• 1 sudu besar udang kering
• 3 ulas bawang merah
• 2 ulas bawang putih

Cara-cara
• Tumis bahan tumbuk.
• Masuk air dan kentang. Biar empuk.
• Masukkan suhun dan pucuk.
• Perasakan dengan garam.

Kataku
• Menu simple dan mudah yang sangat digemari suami. Sangat sesuai dimakan bersama ayam/ikan goreng berlado.