Wednesday, June 26, 2013

Sup Sayur


Bahan-bahan
• 1 biji telur
• 1 biji cili padi
• 1 batang lobak merah (hiris bulat)
• Beberapa helai sawi batang putih
• Kobis
• 1 kiub pati ayam Knorr
• 1 liter air

Cara-cara
• Rebus air. Masukkan cili padi, lobak merah, kobis dan kiub pati ayam.
• Setelah mendidih, perlahankan api. Masukkan telur dan sawi.

Kataku
Sawi dimasak sekejab je. Kalau layu tak sedap sangat. Boleh pelbagaikan. Nak letak suhun ke, bebola ayam/ daging ke, atau sayur-sayuran.

Tomyam Maggi Bersama Salmon


Bahan-bahan
• 1 ketul kepala ikan salmon
• 2 bungkus maggi perisa tomyam
• 1 batang serai (ketuk)
• 3 helai daun limau purut
• 3 biji cili (ketuk)
• 1 biji tomato (belah 4)
• 1/2 batang lobak merah (hiris bulat)
• 1 liter air

Cara-cara
• Rebus air bersama serai, daun limau dan cili hingga mendidih.
• Masukkan kepala ikan salmon, tomato, lobak merah dan perencah tomyam.
• Akhir sekali, masukkan mee maggi dan biar masak.

Kataku
I suka sangat makan ikan salmon. Itu pasal makan maggi pun nak letak ikan ni. Setakat ni selalunya buat sup je..sedap dan senang. Kalau teringin yang grill, makan kat luar je.. Senang. Macam kat bawah ni (makan kat food court dalam midvalley)..sedap sangat!


Tuesday, June 18, 2013

Ikan Masak Tiga Rasa


Bahan-bahan
• Ikan (talapia, kembung, siakap, atau apa-apa yang bersesuaian)
• 3 sudu sos cili 
• 3 sudu sos plum 
• 1 biji bawang besar (potong dadu)
• 10 biji cili padi (potong kecil)
• 1/3 cawan air

Cara-cara
• Cuci ikan dan kelar rapat. Goreng ikan bersama kunyit dan garam. Goreng sehingga garing kekuningan. Angkat.
• Satukan sos cili dan sos plum dalam mangkuk.
• Tumis bawang dan cili padi dengan sedikit minyak hingga layu.
• Masukkan sos cili dan sos plum tadi.
• Tambahkan air dan masak sehingga mendidih dan pekat sedikit.
• Kemudian, tuang sos ini di atas ikan yang telah siap digoreng tadi.

Kataku
Resepi yang sangat mudah dan sedap. Selain ikan, resepi ini juga sesuai untuk ayam, daging mahupun telur mata. Kalau suka boleh tambah buah tomato yg dipotong 6 atau kiub nenas dalam tin.

Yang ni versi siakap. Letak capsicum merah.

Cekodok Gula Kembang


Bahan-bahan
• 2 senduk tepung gandum 
• Sedikit air panas mendidih 
• Air masak (tak panas dan tak sejuk)
• ½ senduk gula pasir

Cara-cara
• Gaulkan tepung gandum bersama gula.
• Masukkan air panas mendidih sedikit sahaja dan kacau hingga sebati. 
• Masukkan air masak dan kacau sehingga adunan seperti cucur pisang. Adunan akan seolah-olah meletup-letup kecil menandakan ada ruang-ruang udara menandakan adunan anda betul.
• Masukkan sedikit demi sedikit ke dalam kuali panas seperti menggoreng cucur pisang. Hasilnya, anda akan nampak cucur ini seolah-olah bersarang di dalamnya dan manis.

Kataku
Cubaan pertama...gagal! Tersilap bancuhan. Rasa dah sedang elok. Cuma texture je tak betul.

Monday, June 17, 2013

Tomyam Nenek


Bahan-bahan
• 1/2 ekor ayam (potong kecil-kecil)
• 10 tangkai cili padi; lebihkan kalau nak pedas (ketuk)
• 1 batang serai (ketuk)
• 3 helai daun limau purut (ketuk)
• 1 - 2 biji tomato
• 1.5 liter air
• 1 biji bawang besar (belah empat)
• 1 batang lobak merah
• Bunga kobis
• Garam dan serbuk perasa

Cara-cara
• Tumiskan tomato bersama sedikit minyak sampai hancur. Ketepikan.
• Rebus air sampai mendidih. Dah mendidih, masukkan tomato yang dah ditumis tadi.
• Masukkan serai, daun limau, cili padi dan ayam.
• Kemudian, masukkan lobak merah dan bunga kobis.
• Masukkan garam dan serbuk perasa secukup rasa.
• Bila dah masak, masukkan bawang besar. Kacau seketika dan tutup api.

Kataku
Selalu I buat resepi ni bila terlupa nak beli pes atau kiub tomyam.. Yang penting, tetap rasa tomyamnya.. hihi.


Sunday, June 16, 2013

Masak Lemak Kangkung Puteri (Sayur Kemam Air)


Bahan-bahan
• 1 ikat kangkung puteri
• Santan dari 1 biji kelapa
• 2 biji bawang merah
• 1 ulas bawang putih
• 1 sudu udang kering
• 1 batang serai
• Beberapa ekor ikan keli (kepala je)
• Garam dan serbuk perasa

Cara-cara
• Cuci kepala ikan keli dengan air asam jawa.
• Tumbuk bawang merah, bawang putih dan udang kering hingga lumat.
• Masak santan dalam periuk dan masukkan bahan yang ditumbuk tadi. Kacau supaya tidak pecah lemak.
• Kemudian, masukkan serai dan kepala ikan keli.
• Masukkan garam dan serbuk perasa.
• Setelah mendidih, masukkan sayur kangkung puteri. Perlahankan api dan biar masak.

Kataku
Dah selalu I dengar pasal sayur ni. Ni baru jumpa. Ada dijual di Pasar Tani Putrajaya. First time masak sayur ni. Rasanya memang seperti petai. Cuma agak liat. Bahagian yang okey pucuknya je. Bahagian lain, ambil daun je.

Untuk ikan, terpulang la nak pakai ikan apa. Ikan kembung pun boleh. I pakai kepala ikan keli sebab, selalu goreng ikan keli tanpa kepala. So kepalanya daripada buang, baik recycle untuk masakan lain.. hehe

Bagi yang tak kenal kangkung puteri, ni ha gambarnya..



Ayam Masak Merah Ala Thai


Bahan-bahan
• 1 ekor ayam
• 1 labu bawang besar (mayang nipis)
• 2 batang serai (ketuk)
• 3 helai daun limau (mayang nipis)
• 2 sudu kicap pekat 
• 4 ulas bawang merah 
• ½ inci halia 
• 8 biji cili kering 
• 1 ½ cawan air
• Garam, gula dan serbuk perasa
• Serbuk kunyit 

Cara-cara
• Goreng ayam yang telah digaul dengan sedikit garam dan serbuk kunyit hingga masak. Ketepikan.
• Kisar bawang merah, halia dan cili kering.
• Tumis bahan kisar hingga pecah minyak. Kemudian, masukkan air.
• Biar hingga mendidih, masukkan garam, gula dan kicap pekat.
• Lepas tu, masukkan serai dan ayam. Kacau dan masak dgn api sederhana.
• Selepas 5 minit, masukkan daun limau purut dan bawang besar yang dah dimayang tadi.

Kataku
Ni ayam masak merah versi Thailand. Rasanya memang tak sama dengan kita punya ayam masak merah.

Saturday, June 15, 2013

Milo Ais


Bahan-bahan
• Setengah cawan milo
• 5 sudu besar susu pekat
• 1 gelas kiub ais
• 1 gelas air
• 2 sudu gula

Cara-cara
• Masukkan semua bahan dalam pengisar dan kisar.

Kataku
Favourite anak. Lebih mudah sekiranya bancuh dahulu susu pekat dengan air agar ia tidak melekat dengan milo. Tambahkan kiub ais ketika menghidang jika terlalu manis (ada yang suka manis, ada yang tak suka manis.. So, adjust le ikut citarasa)

Bebola Ubi Keledek


Bahan-bahan
• 2 cawan ubi keledek (rebus dan lenyek)
• 1 biji telur
• 1/2 sudu baking powder
• Tepung secukupnya
• Minyak untuk menggoreng
• Sedikit garam

Cara-cara
• Masukkan ubi, baking powder, telur dan garam dlm mangkuk. Gaul sebati.
• Tambah tepung sedikit demi sedikit. Uli hingga tak melekat di tangan.
• Bentukkan bulat-bulat kecil dan goreng dalam minyak panas sehingga keperang-perangan.

Kataku
Rasa original ubi tak lari. Bagi yang suka manis macam I, boleh tambah gula ketika menguli atau lebih mudah, cicah dengan susu pekat.

Sayur Bayam Sedap


Bahan-bahan
• Seikat sayur bayam 
• 1 sudu minyak masak
• 2 ulas bawang merah (hiris nipis)
• ¼ cawan air 
• 1 batang lada merah (hiris nipis dan menyerong)
• Garam dan serbuk perasa

Bahan tumbuk
• Segenggam ikan bilis - cuci, rendam dan tos
• 3 ulas bawang putih

Cara-cara
• Petik daun dan potong batangnya agaran 2 cm panjang (buang akar dan batang yang keras). Cuci bersih.
• Panaskan minyak. Tumis bahan yang dah ditumbuk tadi.
• Masukkan bawang merah dan goreng selama 2 minit. Kecilkan api.
• Masukkan air, lada merah, garam dan serbuk perasa.
• Tutup periuk dan didihkan perlahan-perlahan selama 1-2 minit. 
• Masukkan daun bayam dan kacau rata.

Kataku
Sedap dan berkhasiat.

Ikan/Ayam Taucu Hitam Manis


Bahan-bahan
• Ayam atau ikan (keli, kembung, talapia, apa-apa yang sesuai)
• 10 tangkai cili padi (belah dua)
• 1 biji bawang besar (mayang)
• 3 ulas bawang putih (ketuk)
• 1 inci halia (ketuk)
• 2 sudu besar taucu
• 1 sudu besar sos tiram
• 1 sudu besar kicap manis
• 2 cawan air
• 2 sudu air asam jawa
• Gula, garam (jika perlu) dan serbuk perasa

Cara-cara
• Goreng ikan/ayam bersama garam dan serbuk kunyit dan ketepikan.
• Tumis bawang besar, bawang putih, cili padi dan halia hingga garing.
• Masukkan sos tiram, kicap dan taucu. Kacau sebentar.
• Masukkan air asam jawa dan air. Biar mendidih.
• Masukkan gula, garam (jika perlu) dan serbuk perasa.
• Masukkan ikan/ayam yang telah siap digoreng.

Kataku
Rasa dahulu sebelum tambah garam sebab taucu selalunya dah masin. Jika sudah cukup masin, tak perlu letak garam. Jika terlebih masin, tambah air atau gula. Ada juga yang basuh dulu taucu tu sebelum dimasak. Resepi ni memang sedap. Lebih-lebih lagi kalau dimakan bersama nasi panas.